Wednesday, 20 November 2013

Ralat Pembiasan

Assalamualaikum dan salam sejahtera

     Adakah anda pakai spec samada rabun jauh mahupun rabun dekat? Macam mana agaknya bentuk kornea anda? Pada kali ini saya akan menulis tentang ralat pembiasan yang selalu di alami oleh kebanyakan orang. Apakah pulak ralat pembiasan? peningkan?
  

     Ralat pembiasan adalah satu keadaan fisologi di mana sistem pembiasan mata tidak dapat menfokus objek pada retina yang terjadi apabila komponen sistem pembiasan mata mengalami kelainan. Ralat pembiasan boleh dibahagikan kepada:
·         Miopia atau rabun jauh
Miopia adalah satu keadaan pembiasan di mana cahaya yang masuk ke mata difokuskan di hadapn retina dan ianya berlaku apabila bola mata menjadi panjang atau kornea yang melengkung. Rabun jauh berlaku apabila mata lebih besar dan panjang daripada mata mereka yang normal. Rabun jauh adalah proses semula jadi yang terbentuk dengan pantas terutamanya ke atas kanak-kanak sekolah atau remaja, dan terus berlaku semasa proses membesar. Ini menyebabkan mereka perlu memakai kaca mata atau kanta sentuh. Proses ini akan berhenti apabila umur meningkat dalam usia 20 tahun. Antara gejala-gejala rabu jauh adalah sukar melihat objek jauh dengan jelas, perit mata, mata juling, saiz bola mata yang lebih besar, ruang anterior mata yang dalam, anak mata menjadi besar dan garis pusat ceper optik menunjukkan pertambahan. Rabun jauh boleh diatasi dengan memakai cermin mata atau kanta sentuh yang memindahkan titik tumpu ke retina. Terdapat juga beberapa pembedahan yang dapat membentuk kornea yang memindahkan titik tumpu dari hadapan retina ke retina.





·         Hyperopia atau rabun dekat
Rabun dekat adalah satu keadaan di mana penglihata jarak dekat menjadi kabur manakala penglihatan jarak jauh jelas. Ianya berlaku apabila jarak paksi anteroposterior mata menjadi pendek dan menyebabkan cahaya yang masuk akan berpusat di belakang retina. Keadaan ini biasanya dialami oleh golongan yang berumur. Bayi juga akan mengalami rabun dekat namun setelah mata mereka berkembang dan bentuknya menjadi lebih panjang, rabun dekat akan hilang dengan sendirinya kebiasaannya pada usia tujuh atau lapan tahun. Tanda-tanda mengalami rabun dekat adalah kabur penglihatan pada jarak yang dekat, perit mata, sakit kepala, sensitif pada cahaya, mata berair, gatal dan berasa panas. Cermin mata atau kanta lekap mata boleh membantu membetulkan penglihatan. Kaedah pembedahan juga boleh dilakukan untuk membaiki bentuk kornea atau meletakkan kanta lensa artificial di dalam mata untuk mengurangkan rabun dekat atau membetulkan rabun dekat.

·         Astigmastisme

Astigmatisme atau rabun silau berlaku apabila tidak wujudnya satu titik fokus iaitu cahaya yang masuk ditumpukan pada jarak yang berlainan pada retina kerana permukaan kornea yang tidak sekata. Apabila keadaan ini berlaku, ia akan menyebabkan seseorang melihat imej yang tidak jelas dan pecah-pecah terutama cahaya pada waktu malam. Astigmatism yang sedikit atau kurang daripada 0.50D biasanya tidak mengganggu penglihatan namun sekiranya ia lebih, ia boleh menyebabkan sakit kepala, mata letih dan silau yang kronik. Antara faktornya ialah keturunan, kecederaan kornea mata, berlaku selepas pembedahan mata seperti pembuangan selaput katarak, ketumbuhan pada kelopak mata atau penyakit kornea seperti keratoconus. Rabun silau dapat diatasi dengan pembetulan kornea atau kanta harus dilakukan seperti pemakaian cermin mata atau kanta sentuh khas.

·         Presbiopia
Presbiopia atau rabun tua adalah keadaan di mana mata tidak dapat fokus pada jarak dekat akibat daripada kanta mata menjadi kurang anjal.  Kebiasaannya ianya terjadi kepada seseorang yang berumur 40 tahun ke atas. Faktor usia menyebabkan perubahan terjadi pada protein dalam kanta mata, mengakibatkan kanta mengeras dan kurang elastik. Ia turut menjadi punca perubahan pada otot di sekeliling serat kanta. Disebabkan ia kurang elastik, mata sukar untuk memfokus.Gejala-gejala presbiopia adalah penglihatan kabur pada objek yang dekat, sukar membaca tulisan yang kecil, mata yang letih terutama apabila membaca di tempat kurang cahaya atau waktu petang, mata tegang dan sakit kepala apabila terlalu dekat dengan bahan bacaan dan memegang bahan bacaan pada jarak kejauhan lengan untuk melihat dengan lebih jelas. Presbyopia boleh dibaiki dengan memilih kanta lekap yang sesuai. Walaupun sesetengah orang lebih menyukai kaca mata, teknologi terkini membenarkan mereka yang berhadapan dengan presbyopia memilih kanta lekap dari jenis multifokal. Presbyopia tidak boleh ditangani dengan pembedahan kerana ia sebahagian faktor penuaan, presbyopia juga tidak boleh dicegah.


Okay, anda dah faham tentang ralat pembiasan? dah tahu macam mana bentuk bola mata anda? Diharapkan entri saya pada kali ini memberikan manfaat kepada anda.

Faktor Penyebab Masalah Penglihatan

Assalamualaikum dan salam sejahtera

     Ini adalah post saya yang kedua pada hari ini. Kali ini pulak saya akan berbicara mengenai penyebab atau faktor berlakunya masalah penglihatan. Penjagaan mata menjadi perkara yang amat penting yang harus dilakukan. Mata menjadi bahagian yang sangat mudah terkena jangkitan sekiranya jagaan mata diabaikan. Untuk menghindari mata yang bermasalah, pengetahuan tentang punca berlakunya masalah penglihatan adalah sangat penting. Faktor-faktor penyebab kerosakan mata adalah:


Sebelum kelahiran
·         Pemakanan ibu yang tidak seimbang
Ibu yang sedang hamil tidak mengamalkan cara pemakanan yang tidak seimbang di mana makanan yang tidak berkhasiat diambil tanpa had. Hal ini akan menyebabkan perkembangan janin yang tidak normal disebabkan oleh pengambilan zat yang tidak mencukupi. Semua perkembangan janin akan terjejas termasuklah perkembangan mata janin tersebut.
·         Penyakit di alami ibu
Semasa proses kehamilan, ibu mendapat pelbagai jenis penyakit seperti diabetes, darah tinggi dan sebagainya. Penyakit yang dialami oleh ibu kadang-kala akan diwarisi oleh anak yang dikandung. Oleh itu, pengjagaan dan juga pengawalan penyakit semasa hamil adalah penting agar tidak memberi kesan ke atas janin yang dikandung.

·         Ibu mengambil bahan berbahaya
Pengambilan bahan-bahan berbahaya seperti alkohol, dadah dan rokok adalah satu risiko yang amat besar semasa proses kehamilan sedang berlangsung kerana bahan-bahan ini mempunyai kandungan kimia yang berbahaya kepada janin. Sebagai contoh, rokok mengandungi nikotin yang akan menyekat bekalan oksigen dan juga darah kepada janin lantas membantutkan perkembangan bayi secara keseluruhan.
Semasa kelahiran
·         Kekurangan oksigen
Bayi yang mengalami masalah semasa proses kelahiran seperti terbelit tali pusat pada leher atau posisi bayi yang salah akan menyebabkan bayi menerima oksigen yang kurang lantas sel-sel otak bayi akan mati dan kemungkinan bayi akan mengalami masalah adalah tinggi.
·         Bayi pramatang
Bayi pramatang atau kurang bulan mempunyai kemungkinan yang besar untuk mengalami masalah seperti penglihatan. Hal ini kerana perkembangan janin di dalam kandungan masih tidak sempurna dan ada di antara organ yang masih tidak mampu untuk berfungsi dengan baik. Contohnya perkembangan mata yang tidak sempurna akan menyebabkan ada bahagian mata yang tidak berupayaan untuk berfunsi menyebabkan masalah pada penglihatan.
Selepas kelahiran
·         Cahaya matahari 
Pendedahan kepada sinaran ultraungu daripada cahaya matahari secara berpanjangan misalnya boleh menyebabkan katarak. Walaupun sinaran UV bersifat lut sinar atau tidak nampak dengan mata kasar, ia boleh menyebabkan kerosakan pada beberapa bahagian mata. Dalam jangka panjang, ia boleh menyebabkan keadaan yang tidak dapat dibaik pulih jika kita tidak berusaha untuk melindungi mata. Justeru, penjagaan mata yang betul sememangnya penting. Elakkan berada di luar tanpa penjagaan mata yang betul kerana sinaran UV adalah kuat. Pastikan cermin mata gelap yang digunakan boleh menghalang kedua-dua jenis sinaran iaitu UVA dan UVB secara berkesan. Meskipun menggunakan cermin mata gelap, jangan memandang tepat ke arah cahaya matahari. 
·         Kemalangan
Antara faktor utama penyebab berlakunya masalah penglihatan adalah kemalangan. Kemalangan seperti kemalangan jalan raya, terhantuk, tertusuk benda tajam dan terdedah kepada bahan kimia menyebabkan gangguan kepada penglihatan lantas menyukarkan penglihatan seseorang. Kemalangan boleh berlaku di mana sahaja dan berlaku kepada sesiapa sahaja oleh itu pengjagaan yang sepatutnya harus ditumpukan untuk mengelakkan kemalangan dari berlaku terutamanya kepada bahagian mata.

·         Pemakanan yang tidak seimbang
Pengambilan makanan yang sihat adalah amat penting kepada organ penglihatan iaitu mata namun tidak ramai yang menitikberatkan pengjagaan mata di mana rata-rata tidak mengetahui makanan yang baik untuk mata. Sikap yang tidak mengambil kisah tentang pemakanan dengan mengambil sahaja semua makanan tanpa mengetahui risikonya adalah amat merunsingkan. Makanan yang baik untuk mata adalah makanan yang mengandungi vitamin A , B dan sebagainya kerana mata memerlukannya untuk berfungsi dengan baik.
·         Pendedahan kepada skrin yang terlalu lama
Memandang skrin computer atau televisyen untuk jangka masa lama juga akan meletihkan mata dan boleh menyebabkan kerosakan. Apabila menggunakan computer atau menonton televisyen, pastikan mata dapat berehat seketika. Alihkan pandangan dari skrin dan pandang objek lain selama 10 saat bagi setiap 10 minit. Selain itu, pada setiap jam, pastikan mata mendapat rehat secukupnya. Jangan lupa untuk mengelipkan mata kerana mata yang kurang berkelip boleh mengurangkan air mata bagi melincirkan mata sekali gus menyebabkan mata kering dan tidak selesa. Kekalkan jarak yang sepatutnya antara mata dan skrin dengan kejelasan skrin yang betul. Kedudukan yang baik juga membantu untuk mengelakkan diri daripada mudah rasa sakit di bahagian otot dan belakang badan. Skrin pula seharus nya berada pada jarak 20 hingga 30 inci dari mata, iaitu kira-kira setengah depa. 

Diharapkan pengetahuan mengenai punca berlakunya masalah penglihatan ini akan dapat membantu anda menjaga mata anda dengan sebaiknya.



Perkembangan Penglihatan Manusia

Assalamualaikum dan salam sejahtera...

     Perkembangan penglihatan menjadi pilihan saya untuk dikongsikan bersama dengan semua pada kali ini. Tidak semua mengambil tahu akan perkembangan organ penglihatan iaitu mata kerana perkembangannya tidak dilihat. Perkembangan penglihatan bermula sejak dari bermula janin terbentuk di dalam kandungan lagi dan kebiasaannya penglihatan akan lengkap sekitar 4-7 tahun.


BARU LAHIR
Penglihatan bayi yang baru lahir agak kabur dan jarak penglihatannya ialah antara 5 hingga 7 inci. Bayi dapat memfokus kepada objek dengan tepat pada jarak lebih kurang 12 inci hanya cukup jauh untuk mengenal wajah orang yang mendukungnya. Daya penglihatan bayi baru lahir adalah satu pertiga daripada daya penglihatan orang dewasa. Menurut Haith(1980), bayi sebenarnya tidak memandang sembarangan persekitarannya di mana ia seolah-olah bergerak balas mengikut peraturan tertentu untuk membolehkannya mengoptimumkan maklumat yang diperolehinya. Bayi menutup mata apabila cahaya terang didepannya.  Dalam masa 2 minggu bayi dapat menatap objek  yang berada dekat dengannya.

·         1 BULAN      
Bayi sudah boleh melihat dan memerhatikan objek yang bergerak dan mula mengenali wajah ibunya. Pada masa ini mata bayi akan bergerak secara rawak.
·         2  BULAN
Bayi mula memerhatikan objek yang bergerak secara teliti serta matanya turut bergerak dan mula merenung pada sesuatu objek.
·         3 BULAN
Boleh melakukan pergerakan mata dan kepala dan tertarik dengan objek terang.
·         4 BULAN
Mula memerhatikan tangannya sendiri. Tahap ketajaman mata mengikut carta snellen adalah antara 6 per 60 hingga 6 per 100. Penglihatannya mempunyai tujuan iaitu ingin menghulurkan tangannya untuk mencapai sesuatu.
·         5 BULAN
Pada tahap ini, bayi sudah semakin mahir melihat objek-objek kecil dan menjejaki benda yang sedang bergerak. Menunjukkan minat terhadap objek dalam jarak 1 meter daripada penglihatannya. Mengenali objek yang biasa dilihatnya  seperti botol susu,cawan,dan sebagainya. Sudah tahu membezakan warna-warna terang yang serupa, dan kini mereka akan mula nampak perbezaan yang tidak begitu ketara di antara warna-warna pastel.
·         6 BULAN
Terdapat koordinasi antara mata dan tangan bayi.
·         7 BULAN
Binokular terbentuk dengan baik di mana bayi boleh memindahkan objek dari satu tangan ke tangan yang lain.
·         8 BULAN
Bayi mula mencari objek yang jatuh. Pada usia ini juga warna matanya sudah menjadi warna sebenarnya, walaupun mungkin akan terdapat sedikit lagi perubahan warna yang tidak ketara selepas ini.
·         10 BULAN
Bayi menunjukkan minat yang nyata terhadap objek yang kecil kerana penglihatannya sudah cekap untuk bertindak pantas.
·         11 BULAN
Bayi memandang sepintas lalu persekitarannya dan dapat membezakan apa yang dilihat dengan cepat. Suka melihat gambar-gambar dan menunjukkan jarinya ke arah gambar.
·         12 BULAN
Diskriminasi segi empat dari bulatan.
·         12 hingga 18 BULAN
Suka atau sangat berminat melihat gambar-gambar terutamanya  daripada buku disamping menunjukkan  dengan jari kepada gambar tersebut. Tetapi masih tidak boleh mengubah muka surat buku dengan sendiri walaupun mempunyai koordinasi tangan dan mata yang lebih baik. Melihat objek kecil dan memungutnya dengan ibu jari dan jari telunjuk.
·         4 hingga 7 TAHUN
Penglihatan pada Carta snellen penglihatan adalah 6 per 6 di mana kanak-kanak akan mempunyai penglihatan yang sempurna.

     Penglihatan dan bagaimana otak menggunakan informasi visual adalah keterampilan yang dapat dipelajari. Sejak lahir, bayi mulai menjelajahi keajaiban di dunia dengan mata mereka. Bahkan sebelum mereka belajar untuk mencapai barang dengan tangan atau merangkak dan duduk, mata mereka memberikan informasi dan stimulasi penting bagi perkembangan bayi.


Monday, 11 November 2013

Cahaya....Hargailah

Assalamualaikum....
   Post pertama di blog yang baru. Tajuk di atas berkaitan dengan CAHAYA. Kenapa cahaya? ini kerana cahaya merupakan suatu benda yang amat berharga untuk manusia. Namun tidak semua insan di dunia mempunyai tuah di dalam hidup mereka yang mempunyai punca cahaya. Kehidupan mereka gelap-gelita tanpa kehadiran CAHAYA. Malah ada antara mereka yang tidak pernah mengetahui akan kewujudan cahaya kerana sejak lahir mereka hidup dalam kegelapan kerana mereka Bermasalah Penglihatan. Sesungguhnya kita yang mempunyai mata yang lengkap dengan kehadiran cahaya seharusnya bersyukur kerana mampu melihat dan menghayati dunia yang indah ini. 




   Masalah penglihatan? Apa yang anda tahu mengenai masalah penglihatan? adakah buta semata-mata? Untuk post yang pertama ini, saya akan menulis mengenai definisi masalah penglihatan. Masalah penglihatan boleh dibahagikan kepada dua iaitu rabun/penglihatan terhad dan juga buta.


ButaPenglihatan kurang daripada 3/60, pada mata yang terbaik ataupun medan penglihatan kurang daripada 10 darjah setelah menerima rawatan ataupun pembetulan biasa.


Rabun/penglihatan terhad Penglihatan kurang dari 6/18 sehingga persepsi cahaya pada mata yang terbaik ataupun medan penglihatan kurang daripada 20 darjah sesudah rawatan ataupun pembetulan biasa. Individu dengan penglihatan terhad dapat melakukan tugas seharian menggunakan deria penglihatan.


     Secara undang-undang, buta didefinisikan sebagai kehilangan penglihatan sepenuhnya ataupun mempunyai ketajaman penglihatan 6/60 (20/200) atau kurang daripada itu pada mata yang lebih baik setelah diadakan pembetulan optik. Selain itu seseorang dikatakan buta jika dia mempunyai lapangan atau sempadan penglihatan yang terbatas kepada 20 darjah ataupun kurang yang hanya ditentukan oleh doktor atau pakar mata.  Manakala secara pendidikan , individu yang dikatakan buta ialah mereka yang mengalami kecacatan yang begitu teruk sehingga mereka mesti belajar membaca Braille atau menggunakan deria pendengaran.      Terdapat beberapa tahap masalah penglihatan yang membezakan antara buta dengan penglihatan terhad berdasarkan ujian visual akuiti dan juga adaptasi pendidikan khas. Masalah penglihatan dapat dilihat dalam tahap yang berikut:


  • Masalah pada tahap sederhana masih membolehkan kanak-kanak melihat cahaya dan menjalankan aktiviti melibatkan deria penglihatan dengan menggunakan alat Bantu khas seperti kanta.

  • Masalah pada tahap teruk menyebabkan kanak-kanak mungkin memerlukan lebih banyak masa dan tenaga dalam menjalankan aktiviti malah mengalami kesukaran melakukan aktiviti berkaitan penglihatan termasuk mobiliti, walaupun dengan bantuan alat khas.

  • Masalah pada tahap sangat teruk mengakibatkan kanak-kanak menghadapi kesukaran melakukan aktiviti visual seperti membaca dan mobiliti serta perlu bergantung pada deria-deria lain.
 Mata adalah satu organ yang amat penting dalam kehidupan seharian kita sebagai manusia. Dengan CAHAYA, kita mampu untuk belajar, melukis dan sebagainya. Cuba bayangkan kehidupan anda semua yang hidup di dalam kegelapan, susahkan, untuk membayangkan sudah susah apatah lagi mengalaminya sendiri. Sama-samalah kita mensyukuri nikmat yang tiada bandingan ini. Sekian, Wassalam. 
Mata memainkan peranan penting dalam kehidupan